Home » » Mat Sabu Tuduh PAS Kini Diresapi Elemen Bahaya Timur Tengah

Mat Sabu Tuduh PAS Kini Diresapi Elemen Bahaya Timur Tengah

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 1 December 2015 | 20:21


AIDCNews – 20/6/15 – Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menuduh PAS kini telah diresapi elemen bahaya yang boleh merosakkan parti dan negara.

Beliau yang popular dikenali sebagai Mat Sabu elemen bahaya itu dibawa dari Timur Tengah, iaitu menghukum mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Islamik, sebagai kafir.


“Kamu tidak bersetuju dengan kami, maka kamu tidak bersama kami. Kamu kafir, liberal, munafik.

“Ini berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Somalia, Algeria dan Pakistan. Ia sangat bahaya dan pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah, membawanya pulang bersama mereka,” katanya ketika ditemu bual The Malaysian Insider.

Mat Sabu turut memberi gambaran kesan lebih besar kepada Malaysia jika cara pemikiran seumpama itu berterusan.
(BACA JUGA 'Kenapa baru sekarang Mat Sabu bersuara?')
“Apa yang sedang berlaku berbahaya kepada parti dan pada masa depan, ia juga akan membahayakan negara.

“Persaingan di Timur Tengah mungkin akan ambil masa lebih panjang daripada 20 atau 30 tahun untuk berakhir. Di Malaysia, ia belum bermula lagi, tetapi benihnya sudah mula ditanam dan kuntumnya tidak lama lagi akan berbunga,” katanya.

Kesannya, kata Mat Sabu, golongan sepertinya tewas secara berkumpulan dalam muktamar PAS baru-baru ini.

“Apa yang mereka bincang hanyalah sama ada Abang Mat berada di pihak mereka atau tidak. Mereka tidak peduli selama ini kamu berpenat lelah untuk parti dan hanya balik rumah beberapa hari saja dalam sebulan.

“Mereka lihat Hanipa dan label dia liberal dan kata dia mesti ditolak. Tidak peduli berapa hebat dia berbahas di Dewan Rakyat atau mahkamah, mempertahankan rakyat. Kerjanya tidak ada nilai kerana dia dilabel liberal,” katanya merujuk kepada peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang turut gagal mempertahankan jawatannya dalam Jawatankuasa PAS Pusat.

“Inilah aliran pemikiran dunia Islam hari ini… dan PAS pun sedang berdepan penyakit ini,” kata Mat Sabu.

The Malaysian Insider menamakan golongan ulama sebagai konservatif, manakala golongan seperti Mat Sabu sebagai progresif.

Pemakaian istilah konservatif dan progresif adalah berasal daripada pemikiran Barat sepertimana yang terkandung dalam kertas kerja RAND Corporation.

Menurut cadangan RAND Corporation, Barat khususnya Amerika Syarikat perlu membantu kumpulan progresif atau liberal atau moderat di sesebuah negara Islam kerana kumpulan ini sahaja mampu memerangi kumpulan konservatif atau fundamentalis dalam negara tersebut.

Pengkaji Barat melabel golongan konservatif atau fundamentalis itu sebagai golongan autoritarianisme, iaitu satu golongan yang taat setia kepada pihak berkuasa dan kurang memberi keutamaan kepada hak individu. Jika kumpulan itu berkuasa, mereka kebiasaanya akan melaksanakan pemerintahan kuku besi, diktator, despot, totalitarianisme dan fasisme (suatu gabungan autoritarianisme dengan nasionalisme).

Oleh sebab itu, dalam ke Iraq, Amerika Syarikat menyebelahi dan membantu kumpulan Syiah yang dianggap progresif untuk bersama-sama mereka menentang kumpulan konservatif pimpinan Saddam Hussein.

Bacaan lanjut; Building Moderate Muslim Networks – RAND Corporation dan RAND Corporation : “Civil Democratic Islam: Partners, Resources and Strategies (2003)

Mat Sabu yang dianggap sebagai ketua kumpulan progresif PAS sedang mempertimbangkan hasrat mereka untuk menubuhkan parti baharu bagi menggantikan PAS.

“Kita perlu berbincang lagi sama ada kita akan perlukan parti baharu atau kita boleh cari cara untuk memulihkan ahli PAS… baik pulih semuanya.

“Walau apa pun, parti itu perlu berasaskan Islam kerana hanya dengan itu kita boleh menarik umat Islam untuk menyokongnya,” katanya, sambil menambah, parti dengan asas Islam tidak akan ditolak bukan Islam.

Ini kerana PAS berjaya menawan sokongan bukan Islam dengan slogan “PAS untuk semua” yang digunakan pada pilihan raya umum 2013. Konsep negara berkebajikan juga menerima sokongan daripada bukan Islam, kata Mat Sabu.

“PAS diterima masyarakat Cina. Kita pernah nampak orang Cina pakai kemeja T dengan logo PAS pada masa itu.

“Islam bukan masalah. Masalahnya ialah cara pemikiran pemimpin (PAS),” katanya.

Jika satu parti baharu dibentuk barisan pemimpin sepertinya yang tersingkir daripada kepimpinan PAS, Mat Sabu berkata ia akan meneruskan cita-cita yang kini diabaikan parti Islam itu.

Cita-cita itu ialah untuk memperjuangkan nilai seperti keharmonian pelbagai bangsa, tadbir urus yang baik dan kerajaan yang bersih.

“Lihat ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Mereka yang bercakap mengenai rasuah, tadbir urus kerajaan yang baik dan nilai adalah orang seperti (Ahli Parlimen Parit Buntar) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Samad, (Ahli Parlimen Sepang) Hanipa dan beberapa lagi yang seperti mereka,” katanya.

Semua nama disebutkan itu turut kalah dalam pemilihan parti.

“Tadbir urus kerajaan yang baik, memerangi rasuah, menepati masa, memastikan bandar kita bersih, semua itu Islamik. Tetapi mereka yang kononnya ulama kelihatan lemah dalam mengendalikan perkara seumpama itu.

“Nilai dan amalan itu bukan keutamaan pemimpin PAS sekarang. Semua itu menggambarkan cara pemikiran mereka,” katanya.

Tuduhan PAS diresapi elemen bahaya merupakan tuduhan bersiri yang sudah diucapkan semasa forum anjuran Otai Reformis pada 14 Jun lalu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger