Home » » Tangguhkan kutipan tol LPT2

Tangguhkan kutipan tol LPT2

Written By Gaha Belako on Sunday, 17 July 2016 | 21:15


KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan mendesak kerajaan negeri Terengganu mengemukakan bantahan kepada kerajaan Pusat untuk menangguhkan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dengan serta-merta sehingga beberapa perkara dipertimbangkan sewajarnya termasuk kadar kutipan tol.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang mewakili blok pakatan itu memberitahu bahawa ia perlu dilakukan demi kepentingan pengguna di laluan terbabit di samping spesifikasi keselamatan serta kemudahan yang boleh dipertikaikan dan tidak sewajarnya menggambarkan pembinaan lebuhraya dengan kos pembinaan yang dianggap lebuh raya elit dan termahal di Semenanjung Malaysia.

Menyifatkan pelaksanaan kutipan tol sebagai tergesa-gesa kerana pengumuman dibuat beberapa hari sebelum ia dilaksanakan juga turut menimbulkan persoalan sedangkan banyak masalah di laluan tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.

“Pertimbangan (perlu dibuat) untuk menilai sama ada munasabah atau tidak jumlah kutipan tol 12 sen satu kilometer dengan kemudahan yang tidak mencukupi dan juga kedudukan taraf keselamatan pengguna yang masih lagi dipertikaikan.

“Penangguhan ini juga memberi peluang kepada sama ada perlu berlaku pengurangan dalam kadar tol per kilometer sesuai dengan sumbangan kerajaan negeri ataupun pelaburan kerajaan negeri yang dibuat hampir separuh daripada jumlah (pembinaan) tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri di Pejabat PKR Kuala Terengganu, Gong Kapas, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, penilaian semula juga perlu dilihat sama ada kerajaan negeri perlu mengambil alih keseluruhan ekuiti ataupun aset LPT2 sebagaimana pengumuman tawaran yang pernah dibuat oleh kerajaan tahun lepas terhadap pemilikan keseluruhan konsesi dan aset-aset LPT.

Azan turut mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang tidak mengambil tindakan terhadap tawaran tersebut sama ada menerima atau menolaknya dan memberitahu bahawa inilah masanya untuk kerajaan negeri boleh mengambil peluang untuk memiliki aset dan pengurusan konsesi secara eksklusif dan lebih baik.

Sementara itu, sekiranya pertimbangan yang dikatakan itu tidak diambil perhatian oleh kerajaan negeri, beliau melalui perbincangan dengan beberapa pihak akan mengambil tindakan injunksi di mahkamah bagi membolehkan keputusan lebih wajar dibuat.

“Kami faham bahawa keputusan untuk mengutip tol ini datang daripada kementerian ataupun kerajaan Pusat maka kami faham kerajaan negeri Terengganu berada dalam keadaan sukar serta terhimpit dengan keputusan ini.

“Jadi, kami rasa kerajaan negeri tidak berupaya setakat ini untuk berunding atau mencari alternatif lain selain membebankan rakyat negeri Terengganu dan pantai timur. Maka kami rasakan kaedah mengambil injunksi adalah wajar untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap bangkangan dan tidak bersetujunya rakyat Terengganu untuk dikenakan tol,” katanya.

Beliau juga turut meminta mana-mana pihak tidak seharusnya menyalahkan rakyat sekiranya mereka mengambil tindakan mengadakan protes jalanan dan demonstrasi di plaza-plaza tol sebagai bantahan terhadap kutipan terbabit.

“Walaupun ini tidak berlaku dan kita tidak galakkan tetapi kita tahu sejarah apabila tidak ada penyelesaian maka selalunya akan dipilih kaedah sebegini. Jadi, kita harap keadaan keputusan kutipan tol di Terengganu tidak mencapai keadaan tersebut,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger