Sunday, 18 December 2016

Curi motosikal berleluasa

Mohd Zamri menunjukkan sebahagian motosikal dipercayai dicuri yang dirampas.

KAMPUNG RAJA - Kes kecurian motosikal menjadi penyumbang utama peningkatan kadar jenayah indeks di Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, purata satu hingga dua kes kecurian motosikal direkodkan di daerah ini.

Menurutnya, kebanyakan motosikal dilaporkan hilang membabitkan kenderaan yang diletakkan di halaman rumah.

“Jertih paling tinggi membabitkan kes ini berbanding kawasan lain, malah kejadian curi motosikal turut berlaku di masjid,” katanya.

Mohd Rowi berkata, kes jenayah lain seperti kekerasan dan pecah rumah menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, namun kes curi motosikal sebaliknya.

Menurutnya, bagi mengekang kegiatan tersebut, pihaknya giat melakukan rondaan dan operasi di kawasan sasaran seperti taman perumahan.

“Kebelakangan ini kes kehilangan di kawasan bandar atau pekan tidak ketara, sebaliknya berlaku di rumah atau masjid. Justeru, kita akan mempergiatkan rondaan dan operasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Tambah Mohd Rowi, kecuaian pemilik motosikal yang tidak menggunakan kunci tambahan atau kunci pendua dikenal pasti antara faktor memudahkan kenderaan mereka dilarikan.

Katanya lagi, penjenayah mengambil masa singkat untuk menghidupkan enjin sebelum melarikan motosikal untuk dijual komponen atau sebaliknya.

“Sekiranya pengguna menggunakan kunci pendua, sudah tentu proses melarikan motosikal akan menjadi perlahan.

“Sehubungan itu, kita harap pemilik motosikal dapat meningkatkan ciri keselamatan pada kenderaan mereka bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah, termasuk meletakkan di tempat sukar untuk dilarikan,” katanya.