Sunday, 18 December 2016
Laung takbir sebelum maut
KOTA BHARU - Seorang lelaki maut dihempap suis utama papan elektrik seberat satu tan di sebuah taman di Bukit Cina, bersebelahan Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengahari itu, mangsa, Saifulnizam Faud, 38, yang juga pekerja pemasangan bagaimanapun sempat melaungkan takbir sebelum maut.
Saksi kejadian, Mohd Hafizul Rahman Zamri, 17, berkata, mangsa ketika itu melakukan kerja memindahkan papan elektrik menggunakan jentera angkat susun (forklift).
“Pada mulanya saya dengar ada benda jatuh, lalu saya berlari ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki sudah dihempap suis papan elektrik di situ.
“Semasa saya sampai di situ, dia masih bernyawa dan saya dengar dia sebut ‘Allahuakbar’ dalam tempoh 15 minit sebelum menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Setapa Yusoff berkata, siasatan awal mendapati tali kren yang mengangkat papan suis utama terputus dan menimpa kepala mangsa.
“Mangsa didapati cedera parah di kepala sebelum pasukan perubatan mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Setapa berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk dibedah siasat.
“Kejadian tersebut sudah dimaklumkan kepada keluarga mangsa yang berasal dari Felda Chuping, Kangar, Perlis dan siasatan awal ini juga mendapati tiada unsur jenayah,” katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.