Home » , » Remaja mengaku salah peras ugut bapa sendiri

Remaja mengaku salah peras ugut bapa sendiri

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 20 December 2016 | 22:57


MELAKA TENGAH - Padah menyamar sebagai penculik dan meminta wang tebusan daripada bapa sendiri, seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan melakukan pemerasan dalam kejadian dua minggu lalu.

Remaja berusia 16 tahun itu kemudian mengaku bersalah di hadapan Majistret Norina Maludin selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memeras ugut bapanya yang berusia 55 tahun supaya membayar RM25,000 sekiranya tidak mahu anaknya dibunuh di sebuah kilang di Taman Datuk Tamby Chik Karim, pada jam 3.23 petang, 10 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat, jika disabitkan dengan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh selain menetapkan tarikh sebutan sementara menunggu laporan akhlak.

Bagaimanapun, bapa tertuduh juga pengadu kes ini meminta mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tidak mempunyai wang mencukupi.

Selepas mendengar rayuan itu, Norina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,700 serta menetapkan 9 Mac depan bagi mendengar laporan akhlak yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger