Home » , » Lelaki dicari bantu kes 50 biji pil kuda

Lelaki dicari bantu kes 50 biji pil kuda

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 22 December 2016 | 15:33



KAMPUNG RAJA - Polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan 50 biji pil kuda dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Pangkalan Kubor, Tembila di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, lelaki yang dikhendaki membantu siasatan kes tersebut ialah Mohd Noor Hafidaus Awang, 27 yang beralamat  di Kampung Tembila.

Menurutnya, lelaki itu yang juga mempunyai alaamt di Kampung Bukit Tiu, Machang, Kelantan bagi kes seorang lelaki melarikan diri daripada pihak polis dan meninggalkan kereta jenis Proton Saga di bahu jalan.

“Kira-kira jam 11.30 pagi, pada hari kejadian dua anggota polis trafik yang menjalankan tugas rondaan telah ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Tembila.

“Setelah menghampiri kereta Proton Saga itu, tiba-tiba kereta tersebut melarikan diri dan polis bertindak mengekorinya namun kereta dipandu seorang lelaki itu hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan Kampung Pangkalan Kubur,” katanya kepada pemberita.

Mohd Zamri berkata lagi, pemandu kereta melarikan diri ke arah semak berhampiran dan kedua anggota  polis bertindak mengejar suspek namun suspek gagal dikesan.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut  menjumpai satu beg kecil mengandungi sejumlah 50 biji pil kemerahan dipercayai dadah jenis pil kuda.

“Polis turut menemui dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki di dalam kereta tersebut serta satu kad ATM sebuah bank,” katanya.

Beliau berkata lagi, sehubungan itu, Mohd Noor Hafidaus diminta tampil untuk membantu polis menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang melarikan diri dan dipercayai memiliki dadah tersebut.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sehubungan itu Mohd Zamri meminta Mohd Noor Hafidaus tampil segera di IPD Besut atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenainya agar menghubungi IPD Besut di talian 09 6956222.

Sementara itu dalam kes berasingan sebelum itu, polis turut berjaya menahan dua lelaki kerana dipercayai memiliki sebuah kereta curi dan dadah di tepi jalan Taman Tuah Jaya, dekat Jertih, di sini.

Mohd Zamri berkata, suspek ditahan oleh dua anggota polis yang menjalankan tugas rondaan jenayah setelah melihat sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan  lanjut pada badan suspek menjumpai empat biji pil disyaki dadah dan pemeriksaan lanjut ke atas kereta terbabit didapati nombor pendaftaran yang digunakan palsu sementara  nombor chasis mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Kuala Krai, Kelantan,” katanya.

Kata Zamri, dua suspek berusia 29 tahun ditahan lanjut dan suspek pertama beralamat di Jalan Taman Pelagat mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala rakannya beralamat di Desa Jaya, Jertih tidak mempunyai rekod lampau.

Saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-SINAR

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger