Home » , » Banjir Pulau Perhentian ( GAMBAR)

Banjir Pulau Perhentian ( GAMBAR)

Written By Berita Setiap Hari on Friday, 6 January 2017 | 08:12


KUALA BESUT - Seramai 108 penduduk di Pulau Perhentian kelam kabut kerana terpaksa berpindah dalam kegelapan apabila kampung mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang bermula jam 3 pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian, Zainuddin  Mohamad berkata, kesemua penduduk tidak menyangka akan berlaku banjir di sini kerana kejadian semalam adalah kali pertama dalam sejarah Pulau Perhentian dan penduduk terpaksa  berpindah.

Menurutnya, hujan lebat  bermula jam 3  pagi dan berlarutan sehingga 7 pagi menyebabkan 30 daripada 220 buah di kampung itu dinaiki air sehingga sedalam 1.5 meter.

"Semua penduduk tidak menyangka paras  air naik secara mendadak dan  sedalam itu kerana selama ini air paling dalam pun hanya paras betis atau lutut orang dewasa sahaja atas tanah dan mencecah lantai rumah serta  tidak ada yang berpindah.

"Tetapi hujan semalam amat lebat  antara jam 3 hingga 4 pagi sebelum perlahan sedikit selepas itu.

"Penduduk ketakutan kerana bukan sahaja paras air meningkat tetapi air mengalir laju," katanya.

Zainauddin berkata, penduduk terlibat berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK ) Pulau Perhentian  bermula jam 3.30 pagi.

Menurutnya,  ramai di kalangan mangsa tidak sempat menyelamatkan perabot dan peralatan rumah kerana tidak menyangka  akan berlaku banjir seteruk itu.

Katanya, selepas hujan reda jam 7 pagi semalam air mula surut dan penduduk mula kembali ke rumah muntuk membersihkan rumah masing-masing.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman bergegas ke pulau tersebut kira - kira jam 12.30 tengahari semalam dengan menaiki bot Penyelamat 7 Maritim di jeti Maritim Tok Bali, Pasir Kelantan.

Turut dibawa bersama beberapa keperluan tambahan penduduk seperti selimut, tikar da  keperluan lain yang diselaraskan oleh Penolong Pegawai Daerah Besut,Noor Asikin Abd Rahman bersama Jabatan Kebajikan Daerah (JKM) Besut.

Menurut Tengku Zaihan lagi, pihaknya akan melihat punca sebenar kejadian banjir kali pertama di pulai itu.

Namun beliau tidak menolak taburan  hujan lebat luar biasa dan parit sedia ada tidak dapat menampung jumlah air menyebabkan berlaku banjir kali ini.

"Kita akan meminta  Majlis Daerah Besut (MDB) dan Jabatan Pengairan  dan Saliran (JPS) daerah untuk mengkaji sekiranya perlu longkang sedia ada dibesarkan  bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.

Tengku Zaihan  berkata, air yang turun  dengan banyak daripada bukit bersebelahan menyebabkan air menjadi laju.




Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger