Home » » Kapal Maritim bantu hantar cikgu ke sekolah ( GAMBAR )

Kapal Maritim bantu hantar cikgu ke sekolah ( GAMBAR )

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 5 January 2017 | 10:08


KUALA BESUT - Penantian selama lima hari di kalangan 15 guru  untuk kembali bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian akibat terkandas di jeti Kuala Besut Ahad lalu akibat laut bergelora berakhir apabila mereka dihantar oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) hari ini.

Guru Besar sekolah itu, Rosdi Mohd Amin berkata, beliau yang baru kali pertama melaporkan diri di sekolah tersebut setelah bertukar dari sebuah sekolah di Tumpat, Kelantan tidak sabar ke sana untuk bertugas dan bertemu dengan murid-murid.

Menurutnya, walaupun ketiadaan sebilangan besar guru sepanjang minggu pertama persekolahan penggal baru ini tetapi 170 murid di pulau itu meneruskan sesi persekolahan sekolah seperti biasa  kerana terdapat dua guru di sana.


“Walaupun terpaksa meredah laut yang masih bergelora tetapi guru-guru amat bersemangat untuk kembali ke sekolah dan mengajar,” katanya ketika ditemui di jeti Operasi Daerah Maritim 10, di sini.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan berkata, seramai  15 guru dan tujuh ahli keluarga mereka menaiki kapal Maritim untuk ke pulau tersebut pada jam 1.15 petang.

Katanya, selepas terkandas pada Ahad lepas, guru tersebut melaporkan diri di Pejabat Pendidikan Daerah Besut di Kampung Raja setiap hari dan bermula Ahad ini sesi persekolahan akan kembali seperti biasa.

“Terima kasih kepada Maritim yang membantu menghantar guru terbabit sekaligus menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menggunakan khidmat kapal KM Segantan diketuai Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Charles Boromeo Gopog dari Maritim Kuala Terengganu untuk tugas menghantar guru terbabit bersama ahli keluarga mereka.

Menurutnya, kapal berlepas jam 1.15 petang  dan pelayaran sejauh 13.8 batu nautika (25 kilometer) itu akan mengambil masa kira-kira sejam.

“Ombak setinggi 3 hingga 3.5 meter ketika ini berbahaya kepada bot kecil,” katanya,

Dalam pada itu Pejabat Kebajikan Daerah Besut turut menggunakan kapal sama untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk pulau tersebut yang dikatakan sudah hampir kehabisan makanan kerana mereka tidak dapat ke tanah besar berikutan ombak besar sejak seminggu lalu.

Sebelum ini bekalan pangkalan hadapan ke Pulau Perhentian telah dihantar oleh jabatan berkenaan sejak November lagi sebagai persediaan menghadapi banjir.






Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger