Home » , » Hasrat 15 guru nak mengajar terbantut

Hasrat 15 guru nak mengajar terbantut

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 1 January 2017 | 21:27


KUALA BESUT - Hasrat 15 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian untuk pergi mengajar di sekolah tersebut terbantut kerana mereka terkandas di jeti pelancong Kuala Besut akibat ketiadaan bot yang beroperasi ke pulau tersebut berikutan keadaan ombak besar semalam.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan berkata, mereka tidak dapat ke sana berikutan larangan ke atas bot kecil beroperasi memandangkan keadaan laut bergelora yang berbahaya kepada pemandu dan penumpang bot.

Menurutnya, bagaimanapun sekolah tersebut dibuka seperti biasa pada hari pertama penggal persekolahan baru hari ini memandangkan telah terdapat dua guru di sekolah dan mereka mengajar murid sekolah secara berkelompok.

“Pihak kami membuat permohonan mendapatkan khidmat Jabatan Laut untuk menghantar guru terbabit ke pulau itu dengan menggunakan kapal lebih besar bagi memastikan operasi di sekolah tersebut berjalan seperti biasa dengan secepat mungkin.

“Jika tidak ada halangan esok (hari ini), guru-guru tersebut akan dapat pergi bertugas semula ke pulau itu dengan bantuan jabatan tersebut,” katanya ketika menemui guru-guru SK Pulau Perhentian yang terkandas di jeti pelancong di sini hari ini.

Ab Halim turut meninjau operasi hari pertama di beberapa buah sekolah di daerah ini pagi semalam antaranya SK Kampung Raja.

Menurutnya, bilangan keselurihan pelajar sekolah menengah dan rendah yang mendaftar bagi tahun ini adalah seramai 29,459 termasuk 18,142 murid sekolah rendah.

“Daripada jumlah itu seramai 2,858 murid  Tahun Satu mendaftar di 54 buah sekolah di daerah ini ini sementara pelajar Tingkatan 1 seramai 2,156 di 20 buah sekolah menengah,” katanya.

Ab Halim berkata, semua sekolah dibuka semalam walaupun pada petang kelmarin Sekolah Kebangsaan La dan Felda Tenang di Hulu Besut turut dijadikan pusat pemindahan banjir.

Menurutnya, berikutan keadaan banjir semakin pulih dan mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing menyebabkan tidak ada halangan sekolah dibuka apatah lagi guru-guru tidak terputus hubungan datang bertugas kerana semua jalan sudah boleh dilalui semua kenderaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger