Home » » Pembubaran BERSATU Negeri Sembilan tak jejas PRK PD

Pembubaran BERSATU Negeri Sembilan tak jejas PRK PD

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 27 September 2018 | 07:56


Pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan tidak akan memberi kesan ke atas kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) semasa Pilihan Raya Kecil Port Dickson akan datang.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, berkata beliau melihat BERSATU di Negeri Sembilan hanyalah satu daripada ‘juzuk’ dari kekuatan parti itu.

Beliau juga mengadakan perbincangan dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengambil maklum berkenaan masalah yang dihadapi parti di negeri itu.

“Beliau (Muhyiddin) ada memberi bayangan parti di negeri itu menghadapi masalah. Bagaimanapun, ia tidak akan menjejaskan kempen kita di Port Dickson. Semasa berkempen, keseluruhan kekuatan parti BERSATU dalam komponen penting akan turun membantu.

“Kita tidak nampak (pembubaran) itu sebagai satu ancaman kepada HARAPAN,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelantikan Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), di Kementerian Dalam Negeri, di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan BERSATU Negeri Sembilan dibubarkan serta merta kerana menimbulkan pelbagai masalah dan melanggar perlembagaan parti.

Katanya, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat pimpinan tertinggi yang diadakan parti berkenaan hari ini.

Mengenai majlis berkenaan Saifuddin berkata beliau memberi nama calon bagi menjawat jawatan Pengerusi MyCC kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendapat persetujuan.

“Pengerusi MyCC yang dijawat oleh Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus ini akan menambahkan lagi keupayaan dan fungsi suruhanjaya berkenaan,” katanya.

Mohd Hishamudin adalah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan telah berkhidmat sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Agung, Peguam Kanan Persekutuan dan Presiden Mahkamah Sesyen.

- Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger