PETALING JAYA: Biarpun gah dengan katalog lagu balada meruntun hati seperti Sonata Musim Salju dan Tekad, penyanyi 'otai', Hazami yang bersaing dalam program realiti terbitan TV3, Terpaling Juara, mengetepikan ego dan menerima kritika juri dengan terbuka.
Bersaing dengan bintang 'otai', Rahmad Mega dan Ifa Raziah, Hazami tidak terkilan ditegur juri kerana niatnya menyahut cabaran Terpaling Juara adalah mahu keluar dari zon selesa.
Tidak hairanlah, Hazami enggan berfikir dua kali sebaik dilamar menyertai program realiti itu.
"Saya terus setuju kerana suka konsep program ini selain sudah lama tidak bertanding pada Anugerah Juara Lagu (AJL).
"Terima kasih kepada Datuk Hattan dan Fauziah Latiff sebagai juri tetap yang memberi teguran. Semua komen, pandangan dan kritikan diterima terbuka.
"Saya tidak terkilan kerana sudah bersedia untuk keluar dari zon selesa dan mencuba perkara baharu untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya nyanyian.
"Saya akan buktikan bahawa keupayaan diri bukan hanya bersandarkan vokal, sebaliknya, boleh menjayakan pelbagai corak persembahan dan memberi yang terbaik di pentas Terpaling Juara," katanya.
Selepas dua minggu bersaing dalam Terpaling Juara, Hazami yang dibimbing 'kapten' Akim Ahmad, memberi persembahan cukup menghiburkan dengan mempertaruhkan lagu sendiri, Mungkir Bahagia dan Seribu Impian dendangan Cassey, di pentas berkenaan.
Pada episod minggu lalu, Fauziah memberi pandangan terhadap persembahan Hazami ketika mendendangkan lagu Seribu Impian.
"Saya suka stail Hazami. Cuma, masih ada sesuatu yang anda tidak dapat gapai dalam lagu Seribu Impian ini. Anda kelihatan seperti mengelak sesuatu di atas pentas.
"Anda penyanyi hebat, mempunyai vokal bagus dan sedap didengar. Sebagai artis yang sudah lama berkecimpung dalam industri, kita mahu lihat sisi berbeza Hazami di atas pentas ini," katanya.
Sementara itu, Akim sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Hazami yang dianggap penyanyi dan penghibur versatil berbakat besar.
"Kami akur dengan tekanan yang dihadapi sekarang apabila Hazami dicabar dan diletakkan harapan yang sangat besar pada setiap persembahan di pentas Terpaling Juara.
"Saya tahu peminat Hazami mahukan persembahan yang paling 'wow' daripada idola mereka setiap minggu. Insya-Allah, kami akan sahut cabaran ini dan beri impak yang besar buat Hazami dalam program ini," katanya.
Sementara itu, bakat baharu, Aqmal Ramdan, 26, tidak gentar dan mahu mengatur langkah bersama 'kapten' Naim Daniel hingga ke pentas akhir Terpaling Juara.
"Program Terpaling Juara sangat berbeza dengan pertandingan yang pernah saya sertai sebelum ini. Saya anggap ini suatu tanggungjawab besar untuk berada dalam program ini.
"Insya-Allah saya cuba buat sehabis baik dan 'all out' dalam setiap persembahan. Saya mahu terus mencuba agar penonton kenal dan tahu kebolehan saya," katanya yang mula memasuki pertandingan nyanyian sejak berusia tujuh tahun.
Program realiti, Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten iaitu Akim, Naim dan Hael Husaini yang membimbing
seorang penyanyi senior dan junior dalam persembahan mingguan yang menampilkan lagu yang pernah bersaing di pentas AJL dan Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM).
Selain Hazami dan Ifa, tiga peserta muda yang bersaing adalah Aqmal, Shaz atau nama sebenar, Shazreen Shaharum, 26; dan Aqeesh Aleeya, 18, yang dipilih menerusi uji bakat, awal bulan lalu.
Terpaling Juara disiarkan setiap Ahad jam 9 malam secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam. Program ini juga distrim langsung secara HD di www.tonton.com.my.
Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial. -BH