Wednesday, 31 August 2022

Shahir berdebar ijab kabul esok

 


 KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Shahir Zawawi, 34, berdebar menantikan saat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Jaskin Jaludin, 30, esok.

Bakal pasangan mempelai akan disatukan sebagai suami isteri di sebuah premis perkahwinan di One City, Subang Jaya, diikuti majlis resepsi di lokasi yang sama, keesokan harinya.

"Semakin hampir hari bersejarah, bertambah debaran di hati. Namun, jujurnya, saya sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebaik dipertemukan dengan Jaskin.

"Doakan urusan majlis pernikahan kami berjalan lancar, begitu juga majlis resepsi. Persiapan sudah disempurnakan dengan bantuan ahli keluarga.

"Kami mengadakan majlis akad nikah pada sebelah malam, namun, ia hanya membabitkan kehadiran 300 tetamu yang terdiri keluarga terdekat," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Shahir mengikat tali pertunangan dengan wanita kelahiran Tawau, Sabah pada 16 Julai lalu selepas mengenalinya menerusi Instagram selepas Aidilfitri lalu.

Shahir berkata, dia dan bakal isteri yang juga pemilik butik sepakat memilih mengadakan majlis resepsi bersama bagi memudahkan ahli keluarga dan rakan taulan menghadiri majlis penuh bermakna itu.

"Keluarga saya dari Perak, manakala Jaskin pula dari Sabah. Namun, kami sepakat mengadakan majlis di Subang Jaya bagi memudahkan keluarga berkumpul.

"Memang menjadi permintaan keluarga untuk mempercepatkan majlis pernikahan selepas bertunang, dua bulan lalu.

"Jadi, kami sepakat memilih hari Jumaat untuk disatukan sebagai suami isteri yang sah," katanya.

Shahir berkongsi, dia dan Jaskin akan pulang ke Tawau, Sabah untuk majlis resepsi sebelah pihak perempuan, tiga minggu lagi.

Sebagai hadiah buat Jaskin, Shahir berkata, dia mencipta lagu khas berjudul Halal yang akan dipersembahkan pada majlis resepsi nanti.