Home » » Khalid pecat semua Exco PKR-DAP

Khalid pecat semua Exco PKR-DAP

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 12 August 2014 | 04:56


SHAH ALAM: Seperti dijangka, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak memecat semua enam  exco daripada DAP dan PKR, berkuat kuasa hari ini kerana didakwa cuba "mengurangkan kecekapan" badan tertinggi itu.  
 
"Oleh kerana exco DAP dan PKR telah membuat beberapa kenyataan dan menanda tangani surat supaya diadakan satu blok yang mana tujuan sebenar untuk kurangkan kecekapan exco, saya telah tulis surat kepada Sultan supaya exco ini tidak meneruskan kerjanya sebagai exco kerajaan," kata Khalid kepada pemberita. 
 
Khalid berkata hanya Exco Rodziah Ismail daripada PKR dikecualikan daripada tindakan itu kerana beliau masih di luar negara, kata Khalid. 
 
Tindakan itu diambil setelah tiga exco masing-masing DAP dan PKR mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menganggap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  sebagai Menteri Besar “peralihan” sementara menunggu perlantikan calon baru Pakatan Rakyat untuk  mengisi jawatan itu.
 
Mereka menegaskan segala keputusan Exco kerajaan negeri harus diputuskan menerusi undian, sesuai dengan kedudukan Khalid sebagai MB sementara.
 
“Tan Sri Khalid Ibrahim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dihadkan kepada kapasiti peralihan,” kata tiga Exco masing-masing daripada DAP dan PKR itu.
 
Mereka juga bertekad untuk tidak berjumpa dengan Khalid kecuali pada mesyuarat rasmi Exco “untuk mengelakkan sebarang perbincangan mengenai kedudukan parti masing-masing.”
 
PKR dan DAP sebelum ini meluluskan ketetapan mahu Khalid digantikan dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah.
 
Bagaimanapun pucuk pimpinan PAS membantah keputusan itu dan empat Exconya mengiktiraf Khalid sebagai MB sah dan berjanji untuk memberikan kerjasama penuh.
 
Jawatankuasa Pusat PAS hanya akan membuat keputusan muktamad mengenai isu itu pada Ahad ini.
 
Tiga Exco PKR yang menandatangani kenyataan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Dan Hal Ehwal Wanita Rodziah Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi & Inovasi Dr Daroyah Alwi; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin dan Ganabatirau Veraman
 
Turut memberi perakuan sama adalah ahli Exco DAP, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram Ean Yong Hian Wah; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim; dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar Elizabeth Wong Keat Ping.
http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7Wlb5VnZg==
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger