Home » » PAS perlu pilih bersama Pakatan atau Khalid Ibrahim, kata DAP

PAS perlu pilih bersama Pakatan atau Khalid Ibrahim, kata DAP

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 14 August 2014 | 01:00


SHAH ALAM: DAP terus mendesak PAS untuk memilih sama ada menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ataupun Pakatan Rakyat (Pakatan).

Ahli Parlimen Klang daripada DAP Charles Santiago berkata dalam satu kenyataan hari ini PAS diminta berbuat demikian bagi menyelesaikan krisis Menteri Besar Selangor dengan segera.

"Mereka perlu menyatakan pendirian sama ada mahu bersama PR atau tidak," katanya.

"Kami sebagai rakyat perlu tahu kesetiaan PAS," katanya.

Beliau juga mempertikaikan kesetiaan PAS apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menghadiri mesyuarat bersama Khalid semalam dan masih kekal sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco).

"Sebarang alasan diberikan kepimpinan PAS menyokong kehadiran (di mesyuarat) exco adalah naif dan tidak masuk akal," katanya.

Semalam, empat exco PAS tetap menghadiri mesyuarat bersama Khalid walaupun sebelum itu DAP dan PKR menggesanya supaya tidak hadir.

Santiago menyifatkan imej Khalid sudah hancur kerana pengkhianatannya.

"Pada masa saya menulis ini, imej dan reputasi Khalid sudah berkecai, angkara keangkuhan dan pengkhianatannya kepada parti dan PR yang melantiknya sebagai Menteri Besar Selangor," katanya.

Beliau juga mencabar Khalid supaya mengusulkan undi tidak percaya ke atas dirinya dan tidak bermain politik kotor secara bersembunyi.

"Tapi untuk masa ini, Khalid sudah mengkhianati para pengundi," katanya.

Kemelut di Selangor semakin meruncing selepas Khalid mengambi langkah drastik memecat exco Selangor daripada PKR dan DAP, serta menegaskan beliau masih menteri besar yang sah selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.

Susulan perkembangan tersebut, PKR dan DAP mendesak PAS supaya menyatakan pendirian mereka dengan segera tanpa perlu menunggu mesyuarat 17 Ogos ini.
--antarapost
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger