Home » » Di Tangkap Khalwat dengan dua wanita

Di Tangkap Khalwat dengan dua wanita

Written By Media Baru Besut on Monday 8 September 2014 | 21:56


PARIT BUNTAR - Alasan menumpang tidur di rumah rakan sekerja digunakan seorang pemandu bas untuk mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) Cawangan Parit Buntar tidak berhasil apabila dia ditahan setelah disyaki berkhalwat dengan dua wanita di sebuah premis rumah kedai, Jalan Syahbandar, Pusat Bandar Parit Buntar di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40-an yang berstatus suami orang itu disyaki berkhalwat bersama dua kerani kaunter sebuah syarikat bas ekspress berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Jurucakap Jaipk Cawangan Parit Buntar berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam itu melibatkan  lima anggota penguatkuasa Jaipk Cawangan Parit Buntar.

Menurutnya,  dalam kejadian jam 11.45 malam itu, penguatkuasa Jaipk terpaksa menunggu kira-kira 15 minit di pintu premis yang dibuka seorang wanita berusia 20 tahun.

"Apabila penguatkuasa memasuki premis itu, mereka mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita tidur di bilik berasingan, manakala gadis yang membuka pintu itu mendakwa tidur bersama rakan wanitanya.

“Ketika disiasat, ketiga-tiga individu itu mengaku tiada sebarang ikatan sah, manakala lelaki terbabit beri alasan terpaksa menumpang tidur di rumah rakan wanita memandangkan dia perlu memandu bas ke Kuala Lumpur pada awal pagi,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah soal siasat dilakukan ke atas dua wanita ditahan, pemandu bas itu menukar keterangan dengan mendakwa menyewa sebuah bilik di dalam premis itu sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, kenyataan kesemua individu itu meragukan memandangkan anggota penguatkuasa menemui beberapa bukti di dalam sebuah bilik di premis tersebut.

“Lelaki terbabit difahamkan sudah berkahwin dan tinggal di Butterworth, Pulau Pinang, manakala dua wanita itu pula berasal dari Bandar Baharu dan Langkawi, Kedah.

“Berikutan itu, ketiga-tiga mereka diberikan notis menghadiri sesi kaunseling di Pejabat Majlis Agama Islam Daerah Kerian di Parit Buntar pada hari Isnin (hari ini)," katanya.

Jurucakap Jaipk berkata, lelaki terbabit juga diarahkan segera meninggalkan premis berkenaan dan akan dikenakan tindakan tegas jika ditangkap berkhalwat sekali lagi.
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger