Home » » Kit Siang, Guan Eng jangan campur urusan Pas

Kit Siang, Guan Eng jangan campur urusan Pas

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 27 May 2015 | 21:56


SHAH ALAM - Pemuda Pas memberi amaran kepada DAP terutama kedua-dua pemimpin tertingginya, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng agar tidak masuk campur dengan urusan dalaman parti itu termasuk sibuk berkempen untuk Muktamar Pas, minggu hadapan.

Naib Ketua Pemuda, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Penasihat dan Setiausaha Agung DAP itu disifatkan menghiris perasaan golongan anak muda dan penyokong Pas.

“Pemuda Pas keseluruhannya melahirkan rasa kesal dengan kenyataan bersifat serangan yang dikeluarkan Kit Siang dan Guan Eng terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kenyataan yang berunsurkan provokasi dan fitnah secara berterusan kepada pemimpin tertinggi kami adalah perbuatan yang menghiris perasaan para anak muda dan penyokong Pas di segenap lapisan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terbaharu, Guan Eng mendakwa hati Abdul Hadi sekarang adalah bersama Umno walaupun tubuhnya dilihat masih bersama PR.

Mengulas lanjut, Khairil berkata, perbuatan DAP yang mencampuri urusan dalaman Pas dan menjadi batu api yang jelas di luar kerangka kerjasama PR.

“Suka saya mengingatkan kepada DAP bahawa yang akan bermuktamar dan pemilihan kepimpinan pada awal Jun nanti adalah para pimpinan dan perwakilan Pas. Jadi, amatlah tidak manis sekali apabila DAP pula begitu resah-gelisah dan sibuk berkempen di media untuk memberi tunjuk-ajar kepada para ahli Pas siapakah yang layak untuk mengemudi Pas.

“Perbuatan masuk-campur urusan dalaman parti dan menjadi batu api ini adalah di luar kerangka ‘Common Policy Framework’ PR seperti yang sering diulang sebut oleh DAP,” katanya.

Menyentuh soal dakwaan Guan Eng tersebut, Khairil menyifatkan tuduhan itu begitu berat dan berunsur fitnah.

“Tuduhan yang dilemparkan oleh DAP kepada Presiden Pas kononnya Tuan Guru Abdul Hadi telah mengkhianati PR dan hatinya bersama Umno adalah tuduhan yang begitu berat dan berunsur fitnah. Kisah ‘Unity Government’ juga bagaikan hantu yang begitu menakutkan DAP sedangkan ia adalah kisah lama yang telah diputar-belit dan menjadi sejarah.

“Sedangkan, Lim Kit Siang sendiri pada baru-baru ini mencadangkan ‘Save Malaysia Govenment’ yang menggabungkan ahli Parlimen PR dan BN. Bukankah ini adalah pengkhianatan kepada rakyat secara terang lagi terbuka?.

“Guan Eng menuduh Presiden Pas mempunyai jiwa Umno kerana Tuan Guru Abdul Hadi tidak turun berkempen di PRK Permatang Pauh. Saya ingin  bertanya, adakah Guan Eng dan gerombolan pimpinan tertinggi DAP ada turun berkempen di PRK Rompin yang melibatkan calon Pas baru-baru ini?

“Jikalau kita menggunakan sifir Lim Guan Eng itu, bolehkah disimpulkan bahawa beliau berjiwa Umno-BN juga kerana tidak pun turun berkempen dan beliau tidak juga menyatakan sokongan secara terbuka kepada calon Pas di PRK Rompin? Lebih baik beliau beringat sebelum sibuk menyerang orang lain, bak kata pepatah ‘bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan DAP agar tidak mencampuri urusan Pas kerana tindakan itu hanya akan merosakkan hubungan kerjasama mereka.

“Justeru, kami menegaskan dan memperingatkan kepada DAP agar jangan  mengamalkan dasar masuk campur hal ehwal dalaman parti rakan kerana ia akan merosakkan hubungan kerjasama yang telah dibina selama ini.

“Sepertimana DAP marah sekiranya orang Pas berkempen di dalam pemilihan kepimpinan DAP, maka seperti itulah yang kami harapkan agar DAP usahlah sibuk tumpang berkempen untuk mengajar kepada perwakilan Pas siapakah yang layak untuk memimpin Pas sesi kepimpinan 2015/2017,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger