Home » , » Perkhidmatan tren shuttle Kuala Krai-Tumpat dibatal

Perkhidmatan tren shuttle Kuala Krai-Tumpat dibatal

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 3 January 2017 | 21:55


KUALA LUMPUR - Perkhidmatan tren 'shuttle' Keretapi Tanah Melayu melibatkan laluan antara Kuala Krai-Tumpat dibatalkan sehingga dimaklumkan kemudian, ekoran paras air banjir yang semakin meningkat.  

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini berkata perkhidmatan tren shuttle hanya akan beroperasi antara Kuala Lipis-Dabong sahaja.

"Perkhidmatan tren Intercity di pantai timur masih mengalami gangguan disebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di KM392.5 antara Bukit Abu-Dabong, Kuala Krai pada Sabtu (31 Dis). Semua perkhidmatan tren antara laluan Dabong-Kuala Krai-Dabong masih lagi digantung sehingga dimaklumkan kemudian.

"Kerja membaik pulih landasan sedang giat dijalankan," menurut KTMB dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No.26 (JB Sentral-Tumpat), perkhidmatan tren hanya disediakan dari Stesen JB Sentral sehingga Stesen Gua Musang dan para penumpang akan meneruskan perjalanan dari stesen Gua Musang ke Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat menggunakan bas yang disediakan oleh pihak KTMB.

Penumpang ke stesen Dabong pula akan menggunakan tren tempatan.

Bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No.27 (Tumpat-JB Sentral) pula, para penumpang akan menaiki bas dari Stesen Tumpat, Wakaf Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang menggunakan bas, manakala di Gua Musang mereka akan meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral menggunakan tren.

KTMB juga menjangkakan kelewatan tren melebihi dua jam dan para penumpang boleh mendapatkan pemulangan tambang atau menukar semula tarikh perjalanan.

KTM Berhad memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau layari laman sesawang kami di www.ktmb.com.my, katanya. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger