Home » , , » Tidak patuh SOP punca kluster pendidikan meningkat

Tidak patuh SOP punca kluster pendidikan meningkat

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 20 January 2022 | 04:42




Kuala Lumpur: Ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa dan di luar waktu persekolahan formal terutama ketika di asrama antara faktor peningkatan kluster institusi pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, faktor lain dikenal pasti adalah amalan pemakaian pelitup muka semasa berada di asrama belum di tahap optimum.

Selain itu, katanya, pergerakan pelajar yang bebas semasa berada di asrama, pergaulan rapat semasa pelajar di asrama dan tiada penjarakan fizikal semasa aktiviti kerohanian di masjid juga dikenal pasti faktor peningkatan dalam kluster itu.

"Pada masa sama, individu bergejala lewat dikesan, selain pelajar tidak memaklumkan kepada penyelia sewaktu mula bergejala.

"Pada masa sama, guru bergejala tetapi masih hadir ke kelas menyebabkan jangkitan kepada pelajar dan pelajar yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan kuarantin juga antara faktor tercetus kluster," katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, faktor lain adalah ruangan tumpuan pelajar tidak dilakukan disinfeksi secara berkala dan sistem pengudaraan yang tidak mencukupi yang mana tiada kipas ekzos bagi bilik penghawa dingin dan tingkap di asrama tidak dibuka atau disidai tuala.

"Dari Minggu Epid 1 tahun 2022 hingga 19 Januari lalu, terdapat 52 kluster pendidikan, membabitkan 30 kluster (57.7 peratus) sekolah menengah.

"Daripada 30 sekolah menengah itu, 27 (90 peratus) adalah sekolah berasrama," katanya.

Beliau berkata, perkumpulan ramai ini meningkatkan risiko penularan jangkitan menyebabkan jumlah kluster di sekolah pada minggu pertama persekolahan sebanyak 15 kluster.

"Pada minggu kedua persekolahan bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 kluster yang mana semua negeri ada melaporkan kluster kecuali Perlis, Terengganu, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.

Katanya, bagi 52 kluster pendidikan yang dilaporkan sejak minggu pertama 1 tahun 2022, siasatan mendapati 44 kluster membabitkan kes indeks pelajar; guru atau pensyarah (lima kluster) dan staf sokongan pusat pendidikan (tiga kluster).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam masa terdekat bagi mengukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan Covid-19 di institusi pendidikan," katanya.- hmetro

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger