BERITA TERKINI
Showing posts with label Edisi Melaka NS. Show all posts
Showing posts with label Edisi Melaka NS. Show all posts

Melaka benarkan aktiviti pelancongan, pasar malam beroperasi

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 9 June 2020 | 16:24


MELAKA TENGAH - Melaka membenarkan beberapa lagi sektor ekonomi beroperasi secara berperingkat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, antara sektor dibenarkan ialah pelancongan domestik meliputi penginapan di hotel, lawatan ke muzium, zoo dan pusat-pusat pelancongan.

"Selain itu perkhidmatan gunting rambut, pendandan rambut dan kecantikan serta salun dibenarkan beroperasi selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan secara berterusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Koronavirus (Covid-19) Negeri yang diadakan pada hari ini memperhalusi beberapa pengumuman berhubung sektor-sektor ekonomi yang diberikan kelonggaran untuk beroperasi seperti mana pengumuman oleh Perdana Menteri dan Menteri Kanan Keselamatan.

"Walau bagaimanapun, kesemua operasi hendaklah mengikut SOP yang dikeluarkan oleh MKN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasar terbuka termasuk pasar pagi, pasar malam dan bazar ria turut dibenarkan beroperasi berkuatkuasa 15 Jun ini selari dengan keputusan dibuat kerajaan Pusat.

Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada SOP yang akan diselaraskan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Seri Ghafaar Atan pada Khamis ini.

"SOP yang lebih ketat akan dikemukakan bagi mengelak kluster baharu di samping memastikan negeri ini terhindar daripada diisytiharkan sebagai kawasan atau zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Banyak aspek perlu diteliti dan diperhalusi bagi memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan," katanya.
--sinar

Sidang Dun Negeri Sembilan: Lima minit kecoh isu UEC

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 26 September 2018 | 21:28


SEREMBAN - Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) menarik perhatian ahli dewan apabila berlaku perselisihan pendapat antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang berlaku hampir lima minit, semasa Adun Lobak, Chew Seh Yong membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Dewan menjadi kecoh seketika apabila Seh Yong (Lobak-DAP), mahu supaya kerajaan mengiktiraf UEC tetapi dibantah oleh Datuk Abd Rahman Redza (Linggi-BN).



Abd Rahman berkata, kerajaan negeri belum memberitahu pendirian mereka sama ada mengiktiraf UEC atau sebaliknya, tetapi Adun Lobak pula dengan sendiri kata kerajaan sudah iktiraf UEC sedangkan belum ada keputusan muktamad mengenainya.


"Saya mahu mendengar apa pendirian kerajaan negeri di dewan mulia ini, kita mahu dengar secara rasmi pendirian kerajaan negeri sama ada iktiraf atau tidak UEC, itu sahaja.


"UEC tidak mengikut silibus Kementerian Pendidikan, malah tiada subjek bahasa Melayu yang diajar di sekolah swasta itu, jadi mengapa kita perlu iktiraf UEC ini?," katanya.


Dalam pada itu, Yoh Seng meminta kepada ahli dewan agar tidak mempolitikkan isu UEC ini.


Katanya, beliau bersedia untuk membawa semua pemimpin BN bertemu dengan tenaga pengajar serta pelajar yang bersekolah swasta bagi membuktikan bahawa pelajar di sekolah swasta itu juga memiliki silibus yang sama dengan pendidikan negara.


"Saya sedia membawa semua pemimpin BN datang melawat sekolah swasta yang terlibat, dan kita boleh duduk bersama berbincang di meja bulat.


"Apa yang kurang kita perlu tunjuk dan beritahu kepada mereka, kita ajar mereka jika ada yang tidak betul, jangan terus menilai dan ketepikan hak mereka," katanya.
--sinar--

Surau tepi laut perlu perhatian

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 22 December 2016 | 16:03


MELAKA TENGAH - Terletak di tepi laut, Surau Selat Melaka di Taman Padang Temu Indah, di sini, kelihatan strategik dan pasti memberi ketenangan buat jemaah yang menunaikan ibadah.

Bagaimanapun, ketenangan itu pasti terganggu disebabkan keadaan surau berkenaan yang didakwa penduduk banyak kemudahan sudah rosak dan perlu diperbaiki segera.

Penduduk mendakwa, keseluruhan bangunan itu termasuk dinding, pagar, tandas dan beberapa kemudahan lain banyak terjejas disebabkan wap air masin, di samping masalah hakisan.

Pengerusi surau berkenaan, Fazli Sharil berkata, keadaan itu sudah berlarutan selama beberapa tahun dan ia menuntut tindakan pihak berkaitan untuk melihat dan memperbaikinya semula.

“Usia surau ini baru 10 tahun tetapi kami bimbang disebabkan masalah tersebut menyebabkan ia kelihatan uzur apabila beberapa bahagian pagar sudah roboh, pintu surau dan tandas pun sudah rosak serta berkarat,” katanya

Menurutnya, surau yang mampu memuatkan kira-kira 200 jemaah dalam satu-satu masa itu kerap menjadi tumpuan pelbagai program dan dihadiri ramai luar negara.

“Antara jemaah yang biasa mengunjungi surau ini termasuk dari Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, Australia, Jepun, China, Pakistan, Bangladesh, Mesir, Arab Saudi, Kuwait dan beberapa negara Asia Tenggara seperti Indonesia serta Thailand," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, seorang jemaah, Syed Muhammad Abdul Kadir, 47, berkata, keadaan pintu pagar yang rosak memudahkan pelbagai pihak tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan berkenaan.

“Akibat ketiadaan pagar ada pihak yang melakukan perkara tidak senonoh termasuk membuang najis mereka sesuka hati. Kami turut bimbangkan soal keselamatan anak-anak jemaah kerana pagar yang rosak mendedahkan mereka kepada bahaya ekoran terletak di tepi laut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian petang kelmarin mendapati kedudukan surau berkenaan yang terletak di tepi laut memang mendedahkan berlakunya keadaan sedemikian termasuk tempoh penahan ombak juga didapati sering berdepan dengan masalah hakisan.

Manakala, struktur bangunan yang diperbuat daripada besi seperti pagar dan pintu turut rosak.

Tercampak ke dalam longkang akibat kemalangan


NILAI - Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit mencari dan menyelamatkan seorang lelaki yang tercampak ke dalam longkang selepas lori dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah lori lain di selekoh jalan di hadapan kilang United More di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 petang itu, mangsa Khairul Azhar Mohd Ali,32, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihanyutkan arus deras sejauh 700 meter sebelum mayatnya ditemui.

Pegawai Bomba Kanan 2, dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd Syazwan Saidy berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu lori satu tan membawa muatan makanan segera dari arah Kolej Height menuju ke Semarak di sini.

"Namun difahamkan sebaik sampai di selekoh jalan berhadapan kilang itu, lori dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah lori 24 tan membawa muatan tanah sawit.

"Kejadian itu mengakibatkan lori terbabit berpusing dan terbalik manakala Khairul Azhar pula tercampak ke dalam longkang dibawa arus deras,"katanya.

Menurutnya, sebuah jentera dan Pasukan Perubatan dan Tindak Balas Perkhidmatan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dengan kekuatan anggota seramai lapan orang bergegas ke lokasi

Mohd Syazwan berkata, bomba mengambil masa kira-kira 20 minit mencari dan menyelamatkan mangsa yang dihanyutkan arus deras sejauh 700 meter dari lokasi kejadian.

"Mangsa didapati cedera teruk pada bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang membuat pemeriksaan.

"Pemandu sebuah lagi lori Ahmad Romdiahuddin Mohammad Jais,39, selamat dan tidak mengalami kecederaan. Difahamkan ketika kejadian itu dia dari arah Nilai 3 ke Semenyih, Selangor untuk menghantar muatan dibawa,"katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
-SINAR

Remaja mengaku salah peras ugut bapa sendiri

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 20 December 2016 | 22:57


MELAKA TENGAH - Padah menyamar sebagai penculik dan meminta wang tebusan daripada bapa sendiri, seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan melakukan pemerasan dalam kejadian dua minggu lalu.

Remaja berusia 16 tahun itu kemudian mengaku bersalah di hadapan Majistret Norina Maludin selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memeras ugut bapanya yang berusia 55 tahun supaya membayar RM25,000 sekiranya tidak mahu anaknya dibunuh di sebuah kilang di Taman Datuk Tamby Chik Karim, pada jam 3.23 petang, 10 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat, jika disabitkan dengan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh selain menetapkan tarikh sebutan sementara menunggu laporan akhlak.

Bagaimanapun, bapa tertuduh juga pengadu kes ini meminta mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tidak mempunyai wang mencukupi.

Selepas mendengar rayuan itu, Norina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,700 serta menetapkan 9 Mac depan bagi mendengar laporan akhlak yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Tergamak rogol adik ipar

Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 18 December 2016 | 19:02



BANDAR SERI JEMPOL - Seorang lelaki berusia 57 tahun tergamak melampias nafsunya dengan merogol adik ipar berusia 20-an dalam kejadian di Felda Serting Hilir, di sini.

Lebih memalukan, tindakan terkutuk abang ipar durjana itu bukannya pertama kali dilakukan tetapi difahamkan berlarutan lebih kurang setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, berdasarkan siasatan, mangsa yang berada di dalam bilik didatangi abang iparnya yang bertindak menutup mulutnya sebelum dia dirogol.

“Bagaimanapun, kakak mangsa dipercayai mengetahui perilaku lelaki berkenaan, namun tidak ambil peduli.

“Polis kini sedang mengesan lelaki tersebut bagi membantu siasatan membabitkan kes rogol,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Noorzainy berkata, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai telah mencabul adik iparnya bertindak mengugut mangsa dengan mengatakan dia akan dirogol lebih dari seorang lelaki di depan kakaknya.  

“Kejadian berlaku sekitar bulan Mac di rumah dekat Felda Serting Hilir yang mana mangsa, 20-an diajak melakukan hubungan sulit oleh abang iparnya, namun mangsa menolaknya.

“Lalu suspek mencabulnya menyebabkan mangsa melarikan diri. Walau bagaimanapun, pada 20 November lalu kakak mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suspek .

“Dalam SMS itu suspek mengatakan mangsa akan dirogol oleh dua hingga tiga orang di hadapan matanya (kakak) akibat mangsa memfitnah merogolnya,” katanya

Menurutnya, lelaki itu dikesan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 354/506 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan menakutkan secara jenayah.

-- SINAR

‘Siang MBMB, malam kami kutip’



MELAKA TENGAH - “Siang MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) punya, malam kami yang kutip,” demikian kata seorang remaja sebelum ditahan polis kerana melakukan kutipan bayaran parkir secara haram di Jalan Kampung Hulu, di sini, kelmarin.

Remaja lelaki itu ditahan sebaik sahaja menerima bayaran RM5 oleh sepasukan anggota penguatkuasaan trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam Ops Parkir Haram kira-kira jam 9 malam.

Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, sebelum ditahan remaja berusia 17 tahun itu dilihat berlegar-legar di kawasan parkir yang terletak berhampiran Masjid Kampung Hulu.

“Terdahulu lima anggota polis diketuai Inspektor Firdaus Syafiq Abu Talib membuat pemantauan aktiviti penjagaan parkir haram di sekitar Bandar Melaka sebelum kenderaan dinaiki mereka masuk ke dalam satu petak letak kereta di Kampung Hulu.

“Kemudian datang remaja itu menghampiri polis yang berpakaian preman dan meminta RM5 sebagai bayaran.

"Ketika ditanya mengenai petak parkir di situ, dia menjawab bahawa pada waktu siang MBMB yang punya dan sebelah malam pula dia yang pungut,” katanya.

Mohd Kamal berkata, selepas membuat bayaran dan menerima tiket berwarna kuning polis kemudian memperkenalkan diri dan menerangkan kesalahan dilakukannya lalu membuat tangkapan.

“Lelaki itu kemudian dibawa ke IPD Melaka Tengah untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan dilakukan kita turut menemui beberapa keping wang kertas bernilai RM50 di dalam poket seluar dipercayai hasil kutipan bayaran parkir di kawasan itu.

“Ujian saringan urin turut dilakukan terhadapnya namun didapati negatif dadah dan remaja yang tidak lagi bersekolah itu kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengutip bayaran parkir tanpa lesen.

by Taboola
Dua atau tiga juta sudah cukup

Juruwang kedai serbaneka disamun


SEREMBAN - Seorang juruwang sebuah kedai serbaneka di Jalan Tun Dr Ismail di sini disamun oleh dua penjenayah bersenjata parang dan pisau dalam kejadian awal pagi, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.55 pagi ketika pekerja kedai serbaneka yang berusia 20-an itu sedang bertugas seorang diri sebelum didatangi oleh dua lelaki yang mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, suspek pada awalnya masuk ke dalam premis untuk membeli air dan kemudian keluar dari premis terbabit.

“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, suspek masuk semula ke dalam premis lalu terus mengacukan senjata parang dan pisau ke arah mangsa.

“Mangsa telah dipaksa untuk menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai.

"Setelah menyamun, suspek terus melarikan diri dengan menaiki motosikal,” katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian yang dialami mangsa lebih kurang RM500.

"Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian.

“Sehubungan dengan itu, pihak polis kini sedang giat mendapatkan maklumat berkenaan suspek.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan masih dalam siasatan

Polis buru pemandu Proton Waja terlibat kemalangan


SEREMBAN - Polis meminta pemandu atau pemilik Proton Waja WMT 1812 hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, bagi membantu siasatan melibatkan kemalangan tiga buah kereta di Lebuhraya Utara Selatan KM261.5 arah Selatan, pagi tadi.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, seorang lelaki maut dalam kemalangan yang melibatkan Perodua Alza, Toyota Rush dan Proton Waja.

"Dalam kemalangan tersebut, pemandu kereta Perodua Alza seorang lelaki berusia 24 tahun telah maut di tempat kejadian dan pemandu kereta Toyota Rush tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Manakala pemandu kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran WMT 1812 telah meninggalkan lokasi kejadian dan sehingga kini masih belum tampil memberi keterangan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Thiew meminta orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian ini, tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Zul Fadzliah di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-60333400. – Bernama
 
Support : Creating Website | Berita Setiap Hari | Berita Setiap Hari
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Berita Setiap Hari
Proudly powered by Blogger