Home » » GST: Pas diminta jangan guna alasan agama

GST: Pas diminta jangan guna alasan agama

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 25 December 2013 | 20:17


SHAH ALAM 25 Dis. - Parti pembangkang termasuk Pas diingatkan supaya tidak menyalah tafsir dengan menggunakan alasan agama kononnya pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan adalah tidak adil dan zalim menurut konsep Islam.

Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, kefahaman itu dilihat tidak kena pada tempatnya memandangkan GST masih lagi di peringkat penelitian sebelum sistem percukaian itu dijangka dilaksanakan pada 2015.

Beliau berkata, Pas sepatutnya bersikap rasional dan mengambil langkah mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai GST terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan atau gambaran negatif serta menggunakan alasan agama sebagai hujah membantah pelaksanaan cukai itu.

"Kita khuatir penyalahgunaan alasan agama dalam membantah GST hanya akan menambahkan kekeliruan rakyat khususnya umat Islam. Sedangkan dalam ajaran Islam, seseorang itu perlu mencari kebenaran dalam sesuatu perkara bagi mengelakkan daripada terjerumus ke dalam lembah kejahilan.

"Gambaran dan maklumat salah yang diberikan oleh pemimpin pembangkang mengenai GST memberikan kesan terhadap rakyat malah besar kemungkinan jatuh kepada peringkat fitnah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita rasmi Pas, harakahdaily.net pada 21 Disember lalu yang menyiarkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pelaksanaan GST jelas bersifat zalim dan tidak adil menurut konsep Islam.

Menurut Abdul Hadi, GST itu ternyata bercanggah dengan konsep adil dalam Islam kerana mengenakan cukai kepada semua orang tanpa mengira kaya atau miskin.

Rosdi turut menegur Presiden Pas itu supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang hanya bermotifkan politik mengenai GST tanpa merujuk kepada maklumat atau mendengar penerangan daripada pihak berwajib seperti Kementerian Kewangan.

--Utusan
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger