Home » » Suri rumah nyaris dirogol, disembelih perompak

Suri rumah nyaris dirogol, disembelih perompak

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 25 December 2013 | 20:11



JEMPOL 25 Dis. - Seorang suri rumah bernasib baik kerana terselamat daripada menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh empat penyamun bertopeng yang memecah masuk rumahnya setelah penjenayah terbabit tidak berpuas hati dengan hasil samun diperoleh.
(Gambar Hiasan)
Kejadian berlaku di Bandar Seri Jempol dekat sini awal pagi semalam semasa mangsa yang ingin dikenali sebagai Samsiah, 31, tidur di ruang tamu rumah bersama dua anak dan seorang adik perempuan sebelum dikejutkan empat suspek tersebut pukul 3.15 pagi.

Menurut Samsiah, kesemua suspek yang dipercayai warga Indonesia berdasarkan pertuturannya terus mengacukan parang di leher dan memintanya supaya mengikut arahan mereka.

"Mereka mengikat kaki dan tangan adik perempuan sebelum mengarahkan saya mengejutkan ahli keluarga lain iaitu suami, abang serta dua lagi anak perempuan saya lalu mengikat mereka.

"Mereka kemudian mengambil wang tunai termasuk dari dompet suami saya dan semua telefon bimbit di dalam rumah sebelum mengheret saya sejauh 50 meter keluar dari rumah dan meninggalkan ahli keluarga saya yang lain," katanya.

Samsiah berkata, semasa berada tidak jauh dari rumah, ada antara penjenayah terbabit yang cuba merogolnya, mungkin kerana tidak berpuas hati dengan hasil samun, malah telah mengoyakkan pakaiannya di bahagian bahu tetapi dibantah rakannya yang lain.

"Mereka turut bertengkar sama ada untuk merogol dan membunuh saya di kawasan paya berdekatan. Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu," katanya yang masih trauma berikutan kejadian tersebut.

Kata Samsiah, mujurlah tidak lama selepas itu, muncul anggota polis sedang meronda di kawasan tersebut menyebabkan kesemua suspek tersebut terus melarikan diri ke arah kebun getah berdekatan.

"Saya bersyukur kerana saya dan ahli keluarga lain selamat walaupun saya ditumbuk di bahagian perut oleh salah seorang perompak itu semasa hendak melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Polis Bantuan Felda untuk menjejaki suspek menggunakan anjing pengesan.

"Kita masih menjalankan siasatan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan bersenjata," jelasnya.

---Utusan
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger