Home » » Pengedar, penagih panas punggung

Pengedar, penagih panas punggung

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 18 April 2015 | 00:01


KAMPUNG RAJA - Pengedar dan penagih dadah di daerah ini dikatakan semakin resah dan panas punggung susulan operasi berterusan dilaksanakan Pasukan Khas Scorpion Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ops Sarang membabitkan serbuan di lokasi penagihan dadah di sekitar daerah ini, setakat ini berjaya memberkas ramai pengedar dan penagih dadah termasuk individu yang dikehendaki kerana mempunyai waran tangkap berkait dengan pelbagai kesalahan khususnya dadah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, Ops Sarang terbaharu yang dilaksanakan bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang kelmarin, berjaya memberkas seramai 13 lelaki dalam serbuan di sebuah port dadah di ladang sawit dekat Tok Saboh, Kuala Besut.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat awam,  pasukan Scorpion terdiri daripada seorang pegawai dan sembilan anggota termasuk empat kakitangan  AADK, digerakkan dalam operasi tersebut.

“Pasukan terbabit telah menyelinap ke kawasan dikenal pasti itu lebih awal dan berjaya mencekup semua suspek yang masuk ke kawasan tersebut sehingga operasi tamat.

“Polis turut memeriksa semua 15 motosikal yang berada di kawasan itu dan hasil pemeriksaan mendapati, semua motosikal itu tidak ada sebarang rekod,” katanya.
Khaled berkata, saringan air kencing terhadap semua suspek turut mendapati mereka positif dadah.

Justeru katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Menurutnya lagi, semua suspek kemudiannya diserahkan kepada AADK untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, kata Khaled, operasi sama akan diperhebatkan lagi untuk membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah, yang didapati menjadi antara penyumbang kepada kes jenayah di daerah ini.

“Hasil operasi yang dilaksanakan secara berterusan didapati memberi kesan kepada penurunan kadar jenayah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, berbanding tahun lepas,” katanya.

Khaled berkata, pasukan Scorpion setalat ini telah melakukan sekurang-kurangnya tiga serbuan sejak pasukan itu diwujudkan tahun ini, di sarang penagih dadah di sekitar ladang sawit di Kampung Tok Saboh.

Menurutnya, polis mahu memastikan tidak ada lagi port dadah di kawasan tersebut, termasuk di sempadan antara Besut dengan Pasir Putih, Kelantan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger