Home » » Mat Sabu Tidak Yakin PAS Mampu Menang Di Luar Bandar PRU 14

Mat Sabu Tidak Yakin PAS Mampu Menang Di Luar Bandar PRU 14

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 10 October 2015 | 15:45


Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu tidak yakin PAS mampu memenangi kerusi di luar bandar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Ini kerana katanya pada pilihan raya umum lalu, ketika PAS berada dalam Pakatan Rakyat, sebahagian besar calon-calon parti di kawasan luar bandar tidak mampu mendapatkan majoriti undi terutamanya daripada orang Melayu.

Apatah lagi kini PAS berada bersendirian tanpa bergabung dengan Pakatan Harapan.

“Itu ketika mereka masih di dalam Pakatan Rakyat, tetapi kini, mereka tidak lagi dengan pakatan pembangkang yang baru.

“Mereka akan menjadi lebih kuat dari segi kekuatan parti, tetapi saya ragu-ragu mereka boleh menang pilihan raya umum kerana sekarang, tidak ada parti politik yang boleh berdiri sendiri dalam landskap politik semasa di negara ini,” katanya semasa sesi dialog minum petang yang diadakan di restoran mamak di Taman Mutiara Rini, Johor Bharu pada Jumaat.

Tambahnya, ia berbeza dengan Amanah, walaupun baharu dilancarkan pada 16 September, namun parti itu perlahan-lahan mendapat momentum dari segi keahlian di beberapa negeri.

Beliau turut menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 ahli menjelang Disember tahun ini, dengan mendapat sokongan paling ramai di Kelantan.

“Di Kelantan, kita sudah mempunyai kira-kira 11,000 orang ahli, terdiri daripada bekas kakitangan awam, yang percaya bahawa Amanah mampu menyediakan tadbir urus yang baik.

“Amanah juga menyasarkan 10,000 ahli di Johor dan 20,000 di Selangor tetapi kami juga bertapak di negeri-negeri pantai barat,” katanya.

Beliau menambah, Johor akan menjadi titik tumpuan utama Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.

Mohamad Sabu juga turut menggesa pemimpin-pemimpin PAS supaya berhenti memanggil ahli Amanah sebagai kafir kerana ia tidak memberikan sebarang kebaikan.

Beliau memberi beberapa contoh kejadian semasa di pelbagai negara Islam seperti Afghanistan, Syria, Somalia dan Iraq yang dilihat menjadi contoh terbaik perbalahan yang membawa kepada kemusnahan.

“Mereka adalah umat Islam yang beriman dan mempunyai kepercayaan yang sama tetapi kerana perbezaan fahaman politik, mereka berakhir dengan berlawan satu sama lain, dan saya mendoakan ini tidak akan berlaku di Malaysia,” katanya lagi.

AIDCNews – 9/10/15
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger