Home » » 3 beranak ditahan, dadah dirampas

3 beranak ditahan, dadah dirampas

Written By Berita Setiap Hari on Monday 30 November 2015 | 00:03



KAMPUNG RAJA - Polis menahan tiga beranak dan merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Darau , Hulu Besut hasil maklumat orang awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan berkata, tiga beranak berusia 15, 25 dan 45 tahun ditahan jam 4.30 petang pada Khamis lalu dan disyaki mengedar dadah di kawasan kampung berhampiran.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut dan Pasukan Khas Spider Ibu Pejabat Daerah (IPD) Besut menyerbu rumah berkenaan.

“Sebaik memasuki rumah tersebut, suspek utama berusia 45 tahun yang merupakan bapa kepada dua suspek lain kelihatan cemas sambil memegang beg hitam dan beg silang dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Melihat kehadiran pasukan polis, suspek cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum berjaya memberkasnya,” katanya.

Kamsani berkata, polis membuat pemeriksaan fizikal terhadap suspek dan menemui satu beg pinggang kecil berwarna hitam dan sebuah telefon bimbit pada genggaman tangan kanan suspek.

Menurutnya, turut ditemui beg silang dan pemeriksaan lanjut dalam beg-beg berkenaan terdapat paket plastik cerah mengandungi ketulan-ketulan kecil kristal disyaki dadah seberat 63 gram, satu ketulan mampat disyaki jenis ganja (7.1 gram) dan dua plastik berisi 17 pil kemerahan dan kehijauan dipercayai dadah jenis methamphertamine (pil kuda).

“Polis turut menemui wang RM10,100 dalam beg silang suspek yang dipercayai hasil jualan dadah. Dalam operasi sama polis turut menahan dua anak suspek yang sedang tidur dalam sebuah bilik berasingan dan ruang tamu,” katanya.

Katanya, selain dadah dan wang tunai, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback dan sebuah motosikal jenis SYM BX dipercayai milik mangsa.

Menurutnya, saringan air kencing mendapati bapa dan anaknya yang berusia 25 tahun positif dadah jenis methamphertamine sementara seorang lagi negatif.

“Dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut sementara suspek berusia 15 tahun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger