Home » , » Tiga sekawan nyaris maut, dihanyutkan arus banjir

Tiga sekawan nyaris maut, dihanyutkan arus banjir

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 31 December 2016 | 15:06


HULU TERENGGANU - Dua beradik bersama seorang rakan mereka nyaris lemas dihanyutkan arus deras ketika sedang bermain air banjir menggunakan pelampung bersama tiga lagi rakan lain di sungai Kampung Bukit Kolam, Ajil, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Mohd Muazam Shah Mahadi, 20, dan adiknya, Mohd Muqri Shah, 15, serta Ariffuddin Che Yen, 22, dipercayai secara tiba-tiba dibawa arus bersama pelampung manakala tiga yang lain sempat berpaut pada palang besi.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dijumpai pasukan penyelamat ketika berjalan di tepi sungai untuk naik ke tebing sekitar jam 1.10 petang dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Zuraidi Mohd Yusof berkata, pihaknya digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kira-kira jam 12 tengah hari berhubung perkara itu bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Ketiga-tiga mereka ditemui selamat ketika sedang berjalan kaki naik ke tebing menuju ke jambatan iaitu kawasan lokasi. Mangsa merupakan penduduk di kampung ini dan kejadian dipercayai berlaku sewaktu mereka sedang bermain pelampung di sungai.

“Dalam musim tengkujuh begini, orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan mengawasi pergerakan anak-anak mereka daripada bermain air banjir berikutan paras air sungai naik mendadak selain arusnya yang laju,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger