Home » , » Trauma: Penduduk segera berpindah

Trauma: Penduduk segera berpindah

Written By Gaha Belako on Saturday, 31 December 2016 | 15:07


KUALA KRAI - Trauma menghadapi banjir besar pada Disember 2014 membuatkan penduduk di kawasan rendah di Kuala Krai segera berpindah ke pusat pemindahan apabila kawasan perkampungan mereka dinaiki air berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Beberapa mangsa banjir yang ditemui Bernama memberitahu mereka tidak mahu lagi berpindah pada saat-saat akhir seperti banjir 2014 kerana ia seolah-olah menggadai nyawa sendiri.

Antara kampung yang dilanda banjir ialah Kampung Keroh, Kampung Bedal dan Guchil, menyebabkan penduduk berpindah secara berperingkat mulai pukul 8 pagi tadi ke pusat pemindahan.

Seorang penduduk Khadtijah Mohd Noor, 60, dari Kampung Bedal, berkata beliau dan empat orang anaknya yang berusia 15 hingga 20 tahun berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh pada 9 pagi tadi ketika air naik paras lutut di kawasan rumahnya.

"Malam tadi, apabila rumah saya dinaiki air sehingga paras lutut, kami mula melakukan persiapan untuk berpindah ke sini (SMK Keroh) dengan membawa dokumen penting dan sedikit kelengkapan penting lain," katanya kepada Bernama hari ini.

Khadtijah berkata, beliau sekeluarga berpindah ke SMK Keroh dengan menaiki perahu yang disediakan anggota keluarganya sebagai persiapan menghadapi banjir kerana kampung itu adalah antara kawasan teruk terjejas ketika banjir dua tahun lepas.

Sementara itu, warga emas Bidah Daud, 71, berkata suasana pemindahan kali ini membuatkannya mengingati kembali musibah banjir dua tahun lepas.

"Saya datang ke sini lebih awal dengan menumpang perahu orang kampung pada 7 pagi tadi ketika air naik sehingga paras lutut di kawasan rumah saya.

"Saya bimbang jika tidak berpindah awal, ia akan menyukarkan saya menyelamatkan diri kerana saya hanya tinggal seorang sahaja di rumah. Saya tiada anak dan suami," katanya.

Sementara itu, Suhaimi Yunos, 47, yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bedal berkata, beliau mula menyelamatkan barangan penting sejak 5 pagi hari ini.

"Saya mengalihkan kereta ke kawasan lebih tinggi iaitu di tepi jalan raya yang terletak 100 meter dari rumah ketika air mula memenuhi kawasan rumah.

"Pada 7 pagi, saya dan isteri serta tiga anak membuat persiapan untuk berpindah ke pusat pemindahan... pada 9 pagi, kami sekeluarga ke pusat itu," katanya sambil memberitahu beliau tidak mahu menunggu di saat-saat akhir untuk berpindah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Pegawai Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung sejak 8.30 pagi tadi menyatakan kawasan kediaman mereka dinaiki air sambil meminta bantuan untuk dipindahkan ke pusat pemindahan.

Beliau berkata, sikap penduduk yang mahu segera perpindah itu memudahkan usaha pihak berkuasa dalam operasi menyelamat.

Setakat ini, seramai 263 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan di daerah Kuala Krai.

Tinjauan Bernama mendapati Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Sungai Durian di sini, mengalami kesesakan teruk berikutan air melimpahi jalan di kawasan berkenaan. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger