Home » » Tiga terima padah curi balak

Tiga terima padah curi balak

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 14 May 2015 | 23:39


KUALA TERENGGANU - Tindakan tiga penduduk tempatan mencuri balak di hutan simpan Pelagat, Besut, akhirnya membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, semalam.

Ketiga-tiga mereka iaitu Muhamad Faiz Zakaria, 26, Che Sabri Che Hamzah, 34, dan Muhammad Zharfan Zulkifli, 19, turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan selepas kesemua mereka yang berasal dari Jertih, Besut, mengaku salah atas dakwaan mengikut Seksyen 68 Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-Pakai) 1986.

Mereka mengaku salah telah membawa hasil hutan iaitu bahagian pokok yang telah ditebang tanpa memiliki pas pemindahan sah yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri berhampiran sempadan luar Hutan Simpan Pelagat, Besut, pada 5 April lalu, lebih kurang jam 5.20 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Nor Zanuar Wan Ahmad.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua sahabat turut mengaku salah menceroboh masuk hutan tertutup Gunung Tebu, Besut.

Kedua-duanya, Mohd Nurul Hakim Mat Hasan, 32, dan Azuan Harun, 25, dari Jertih, Besut, mengaku salah memasuki hutan tertutup (simpan kekal) tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mereka mengaku melakukan kesalahan itu di kompartmen 92 hutan tertutup Gunung Tebu, Besut, pada 5 April lalu lebih kurang jam 1 petang.

Dengan itu, mereka yang juga penduduk tempatan di situ mengaku salah atas dakwaan mengikut Seksyen 47 (1) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-Pakai) 1986 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 47 (4) Enakmen yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 24 Kanun Keseksaan.

Susulan pengakuan salah itu, Wan Fadhilah Nor menjatuhkan hukuman denda RM2,500 kepada kedua-duanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger