Home » » Amukan bapa saudara

Amukan bapa saudara

Written By Gaha Belako on Thursday, 14 May 2015 | 23:30


KUALA TERENGGANU - Bengang kehendaknya untuk meminjam motosikal dihalang anak saudara, seorang lelaki bertindak mengetuk kepala mangsa menggunakan stapler bersaiz besar, dalam satu kejadian di Kampung Lay Out, Jertih, Besut, Rabu lalu.

Tidak cukup dengan itu, suspek berusia 40 tahun turut bertindak ‘keanak-anakan’ dengan menggigit tangan mangsa yang berusia 31 tahun itu sekuat hati sehingga mengalami kecederaan.

Ketua Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 5 petang ketika mangsa yang juga seorang peniaga berada di kedai runcit miliknya sebelum dikejutkan dengan kemunculan suspek secara tiba-tiba.

“Suspek datang bersendirian sebelum bertindak merampas kunci motosikal milik mangsa yang diletakkan atas meja di dalam kedai runcit.

“Terkejut dengan tindakan suspek, mangsa cuba mengambil semula kunci motosikal miliknya dan dalam usaha itulah, berlaku pergaduhan kecil antara dua beranak tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Abd Aziz berkata, dalam pergelutan itu, suspek dipercayai gagal mengawal emosinya sebelum bertindak mencapai stapler bersaiz besar yang ada di atas salah satu rak di dalam kedai tersebut lalu mengetuk kepala mangsa sekuat hati.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut bertindak seperti ‘drakula’ dengan menggigit tangan mangsa sekuat hatinya sehingga meninggalkan kesan kecederaan.

“Suspek dikatakan masih tidak berpuas hati lalu mengamuk dengan menyelerakkan barang di dalam kedai runcit milik mangsa seperti orang kurang siuman,” katanya.

Jelasnya lagi, susulan kejadian, mangsa dihantar mendapatkan rawatan susulan di Hospital Besut dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala serta mengalami beberapa kecederaan ringan di anggota badan.

Mangsa yang bimbang akan keselamatan diri serta keluarganya pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan polis, bagaimanapun suspek dipercayai melarikan diri sebaik mengetahui tindakan mangsa itu.

“Suspek kini sedang dicari untuk disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama.

“Bagi kesalahan itu, suspek boleh dipenjara maksimum empat tahun atau denda sejumlah RM4,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger